Mesyuarat ketengahkan kerjasama memangkinkan teknologi AI





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Mei. - Mesyuarat APEC Ministers Responsible for Trade (MRT) telah diadakan pada 15 hingga 16 Mei 2025 di Jeju, Republik Korea.


Hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Republik Korea, Tuan Yang Terutama Inkyo Cheong ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah. Juga hadir, Menteri-menteri Perdagangan dan Ekonomi serta wakil-wakil daripada Ekonomi-ekonomi APEC.


Selaras dengan tema APEC 2025 iaitu 'Building a Sustainable Tomorrow : Connect, Innovate, Prosper', para Menteri membincangkan pelbagai langkah kerjasama untuk memangkinkan penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam bidang perdagangan seperti aplikasi AI dan perkongsian maklumat standard dalam bidang tarif dan kastam, pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan peranan APEC dalam sistem perdagangan pelbagai hala serta langkah-langkah untuk usaha sama dalam mewujudkan rantaian bekalan yang mampan, termasuk tindak balas terhadap krisis iklim.


Semasa sesi-sesi tersebut, Yang Berhormat telah berkongsi beberapa pandangan. Antaranya ialah berkongsi usaha Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam membangunkan strategi kebangsaan AI dan mengintegrasikan AI ke dalam sektor seperti kesihatan.


NBD selanjutnya menekankan sikap berhati-hati terhadap jurang peraturan, perlindungan privasi data dan penerimaan teknologi digital yang inklusif bagi memastikan pertumbuhan yang saksama di seluruh rantau APEC.


Selain itu, menggariskan kepentingan untuk mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dengan WTO sebagai terasnya dan bagi APEC untuk menyokong usaha-usaha WTO dalam menghasilkan keputusan pada Persidangan Menteri WTO Ke-14 pada tahun hadapan, termasuk memulihkan sistem penyelesaian pertikaian yang berfungsi sepenuhnya.


NBD juga menggesa APEC untuk menyumbang kepada usaha WTO dengan memupuk dialog dan penyelesaian inovatif dan Menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama serantau bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan memandangkan ketidakpastian global yang semakin meningkat serta menyatakan sokongan terhadap inisiatif APEC untuk memodenkan sistem rantaian bekalan, memudahkan perdagangan dan memastikan rantaian bekalan kekal tangkas, inklusif dan responsif terhadap cabaran semasa dan masa hadapan.


Pada mesyuarat tersebut, Yang Berhormat telah mengadakan perjumpaan bersama Minister for Sustainability and the Environment and Minister-in-Charge of Trade Relations Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu Hai Yien.


Kedua-dua Menteri mengesahkan hubungan erat dan yang telah lama ditubuhkan antara kedua-dua buah negara, melahirkan kebimbangan bersama mengenai peningkatan tindakan perlindungan (protectionism) dan menggariskan kepentingan untuk menjunjung tinggi sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.


Perbincangan juga tertumpu kepada mendalami kerjasama serantau melalui platform seperti ASEAN dan APEC serta meneroka peluang kerjasama baharu, terutamanya dalam bidang tenaga dan kemampanan.


Yang Berhormat juga adakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah WTO, Puan Ngozi Okonjo-Iweala.


Mesyuarat MRT APEC diadakan setiap tahun dan menghimpunkan Menteri-menteri Perdagangan dan Ekonomi daripada Ekonomi-ekonomi APEC untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan kerjasama perdagangan dan ekonomi serantau.


Menteri-menteri dan wakil-wakil CPTPP telah mengadakan perjumpaan pada 16 Mei 2025 di Jeju di Mesyuarat MRT APEC.


Para Menteri menggariskan kepentingan untuk memajukan kerja-kerja General Review bagi mengemas kini dan meningkatkan usaha CPTPP dan mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam proses penyertaan Costa Rica. Para Menteri juga memutuskan untuk mengadakan dialog secepat mungkin dengan Kesatuan Eropah dan ASEAN, pada tahun 2025.


Turut hadir pada mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin serta pegawai-pegawai lain daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi.


Close